ESQ di Bumi Madinah

February 1, 2010 by admin  
Filed under Berita ESQ

Isnin 18 Januari 2010, Madinah Al Munawwarah- Pembentangan mengenai The ESQWay 165 mendapat sambutan yang sangat positif dan menggalakkan di Seminar Antarabangsa Madinah yang dihadiri oleh tokoh-tokoh usahawan dan pengurusan dalam pelbagai bidang. Dalam jangka masa 90 minit, peserta seminar disajikan dengan kupasan menarik berkaitan The ESQWay 165. Seminar ini dihadiri oleh 100 orang  peserta dari 19 buah negara. Pembentangan berkaitan modul ESQWay 165 ini telah disampaikan sendiri oleh Pengasas Model Pembentukan Karaktor  The ESQWay 165, Dr Ary Ginanjar Agustian.

Seminar Program for Advanced Leadership and Mana­gement (PALM) telah berlangsung pada 15 hingga 28 Januari 2010 anjuran Madinah Institute for Leadership & Entrepreneurship (MILE) dengan usaha sama Saudi Arabian General Investment Authority (SAGIA) dan Madinah Knowledge Economic City. Objektif utama penganjuran seminar oleh MILE ini adalah untuk memberikan program pendidikan kepemimpinan dan pengurusan yang berkualiti kepada para pemimpin organisasi dan usahawan Islam di seluruh dunia bertempat  di Madinah yang juga dikenali sebagai pusat perkembangan Islam.

Dr. Ary menyampaikan dengan penuh penghayatan

Penyertaan Dr. Ary Ginanjar dalam seminar tersebut sangat dihargai oleh semua pihak yang terlibat, malah kenyataan ini juga diakui sendiri oleh Pengarah Urusan MILE, Dr. Muhamed Mustofa Mahmoud.

“Selama ini kami berusaha mencari sebuah teori atau seorang pembicara dalam dunia pengurusan seperti strategi kewangan, pemasaran yang dapat diperkenalkan kepada peserta atau mendidik mereka bagaimana caranya menjadi seorang pemim­pin moden sesuai dengan perspektif Islam,” katanya.

Sebelum mengundang Dr. Ary Ginanjar ke seminar tersebut, Dr. Muhamed Mustofa terlebih dahulu membaca dan meneliti hampir keseluruhan tentang The ESQWay 165 melalui buku karangan Dr. Ary Ginanjar.

Ketika mengikuti pembentangan mengenai The ESQWay 165, Dr. Muhamed Mustofa mengatakan, beliau berasa sangat tertarik kerana ada seseorang yang sangat profesional dalam bidang pelatihan dan pengembangan sumber daya manusia menggunakan modul berlandaskan Islam.

“Pada kebiasaannya, teknik dan kaedah pelatihan terbaik berasal dari dunia Barat. Namun, pada kali ini saya sangat terkesan dengan kebolehan beliau yang sangat profesional, baik dalam persediaan, buku-buku tulisannya dan kumpulan sokongan yang membantu Dr. Ary. Malah, kesan audiovisual yang ditampilkan, material pembentangan dan urutan persembahannya membuatkan semua peserta sangat tersentuh. Kami berasa sangat bangga dan gembira apabila melihat seorang cendekiawan muslim mampu mempersembahkan perkara tersebut dan pelbagai ilmunya dengan cara yang sangat profesional,” katanya.

Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan dan diperakui oleh MILE bahawa tidak ada satu institusi pengajian perniagaan dan pengurusan di negara Islam tersenarai di dalam  kedudukan teratas dalam bidang tersebut. Bagi mendapatkan pendidikan eksekutif dan berkualiti mereka terpaksa melanjutkan pengajian mereka ke Eropah seperti INSEAD, Harvard  dan Oxford yang ternyata tidak begitu relevan dan sesuai dengan keperluan negara-negara Arab serta faktor sekeliling yang bertentangan dengan kehidupan seorang muslim.

Dr. Ary besama peserta yang mengikuti Seminar Program for Advanced Leadership and Management (PALM) di Madinah anjuran MILE

Oleh yang demikian, MILE melalui Program for Advanced Leadership and Mana­gement (PALM) dilihat sebagai alternatif baru kepada tokoh-tokoh usahawan dan pengurusan untuk mendalami bidang tersebut. Tidak mustahil bahawa pada suatu hari nanti, MILE berupaya menjadi sebuah institusi yang hebat seperti Oxford atau Harvard Business School, malah menjadi nadi kepada perkembangan Islam.

MILE akan membangunkan tiga modal iaitu modal fizikal, emosional dan spiritual. Modal fizikal adalah melalui pengetahuan akademik mengenai ekonomi, perencanaan strategi, kewangan dan pemasaran. Modal emosional pula tertumpu kepada jaringan kerjasama antara peserta sehingga mereka mulai berfikir tentang kesejahteraan umat Islam serta merasakan hubungan yang erat sesama mereka. Manakala modal spiritual, secara simboliknya bertempat di Madinah yang kebetulan tidak jauh dari makam Rasulullah S.A.W, malah masing-masing berkesempatan untuk mengerjakan umrah di Mekah. Semua perkara itu merupakan salah satu usaha untuk membangunkan modal spiritual dalam diri.

Perkara ini turut diakui oleh Dr.Mustafa, yang berpendapat bahawa ketiga-tiga aspek tersebut ternyata sudah dirangka dengan sangat baik dalam Model Pembentukan Karaktor The ESQWay 165. Oleh itu, MILE akan menjadikan The ESQWay 165 sebagai konsep untuk membangunkan bidang pengurusan, kepimpinan dan sumber daya manusia bagi menggantikan teori-teori yang selama ini yang diambil dari Barat.

Sambutan positif bukan sahaja daripada pihak MILE, malah beberapa peserta yang mewakili perusahaan multinasional dari negara lain seperti UAE, Mesir, Turki, Afrika Selatan malah  lain-lain perwakilan juga tertarik untuk mengaplikasikan pelatihan ESQ di negara masing-masing.

Menurut Dr. Ary Ginanjar, selama ini bidang kemahiran ‘soft skill’ seperti kepimpinan dan pengurusan dipisahkan dari nilai-nilai spiritual. Bidang pengurusan dijadikan sebagai urusan dunia semata-mata, manakala nilai spiritual adalah urusan akhirat yang hanya dilakukan atas usaha dan kemahuan  sendiri. Contohnya apabila di tempat kerja hal-hal berkaitan spiritual dilupakan sementara  hingga menghilangkan keikhlasan dan semangat bekerja yang akhirnya menurunkan produktiviti dan kualiti kerja.

ESQ hanya sekadar  berusaha menggabungkan semula dua bahagian yang selama ini terpisah melalui modul The ESQWay 165 yang berasaskan Ihsan, Rukun Iman dan Rukun Islam sedangkan Rasulullah S.A.W telahpun mengajar mengenainya kepada umat Islam kira –kira 1400 tahun yang lalu.

Apa kata peserta? :

Bukhori, National Commercial Bank Jeddah:
“Alhamdulillah, walaupun dalam waktu yang cukup singkat namun penyampaiannya  memberikan kesan yang luar biasa dan sangat berkesan. Kami menantikan trainingnya.”
Marwan Zawawi, Madinah International Real Estate Company:
“Pembentangan Dr Ary Ginanjar sangat bermakna, membuka mata hati, dan ia mampu menjelaskan secara terperinci melalui perspektif Islam. Ini merupakan suatu anjakan paradigma dari dunia Barat moden kembali kepada Islam yang hakiki. Ini bukan hanya sekadar teori  di dalam sebuah buku, tetapi sesuatu yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan kita.”

Razeed, Madinah Knowledge Economic City:
“Jujur saya katakan bahawa saya sangat terkesan bertemu dengan beliau dan mendengarkan penjelasan beliau mengenai nilai-nilai dalam Islam dan bagaimana Islam sesungguhnya dapat mem­bimbing kita dalam dunia nyata serta dalam perniagaan, bagaimana kita dapat memberi sumbangan, serta bagaimana kita dapat bertahan dengan cara berpegang teguh kepada nilai-nilai tersebut.”

Muhammad Amrouf, Afrika Selatan:
“Saya sangat tersentuh dengan pembentangan beliau, terutama dengan cara beliau memperkenalkan ke­seluruhan idea  mengenai kecer­dasan spiritual kerana kami belum pernah mendengar idea seperti ini. Kami harus membawa training ini ke Afrika Selatan. Saya sangat menantikannya.”

Thamar Ghalaini, HR Group Bin Ladeen
“Saya menangis kerana beliau telah menyampaikannya dengan sepenuh hati, sehingga sangat menyentuh perasaan. Kami sangat menyukai kejujuran serta tanggapan  baik yang dibawakan oleh Dr Ary, terima kasih. Kami perlu memberikan training ESQ bagi SBG Bin Ladeen Group tahun depan,  Insya Allah.”

Marwan Hefdi, Madinah Oberoi Hotel
“Sangat indah dan peserta sangat terkejut, Insya Allah mereka akan mengambil hikmahnya. Saya yakin inilah jalan hidup kita, ini adalah sistem kita, Insya Allah. Sebenarnya ini adalah sistem yang sudah ada sejak lama, 1400 tahun yang lalu. Insya Allah, saya harap Dr Ary akan meraih kejayaan.”

Comments

One Response to “ESQ di Bumi Madinah”

  1. aidie bin samad on March 30th, 2010 %I:%M %p

    Alhamdulillah.. semoga esq165 dpt menyatukan puak-puak islam yg bertelagah di rantau teluk.. InsyaAllah..

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!